Kadang kala ada pertanyaan,
“Mengapa sifat Allah yang wajib
diketahui oleh setiap mukallaf hanya dua puluh sifat? Bukankah sifat-sifat
Allah yang terdapat dalam al-Asma’ al-Husna ada Sembilan puluh Sembilan?”.
“Perlu diketahui bahawa Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah tidak
membataskan sifat-sifat Allah kepada dua puluh kerana sifat dua puluh itu
adalah sifat Dzat Allah yang menjadi syarat ketuhanan (syart al-Uluhiyyah).
Sedangkan sifat-sifat Allah yang lain adalah sifat af`al (sifat yang berkaitan
perbuatan) Allah ta`ala. Dan sifat-sifat af`al Allah itu jumlahnya banyak serta
tidak terbatas.”[1]
Mengapa Wajib Mengetahui Sifat Yang 20???
Dalam ma`rifatullah, Mazhab Ahl al-Sunah Wa al-Jama`ah telah
mengetengahkan pemahaman terhadap konsep sifat 20 yang wajib bagi Allah. Konsep
ini sangat masyhur dan wajib diketahui oleh setiap individu muslim yang
mukallaf.
Akhir-akhir ini terdapat satu golongan yang dikenali sebagai Wahhabi
telah mempersoalkan sifat 20 tersebut dengan mengemukakan beberapa alasan yang
antara lainnya adalah tidak terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadis nas yang
mewajibkan pengethuan umat Islam terhadap sifat 20.
Bahkan termaktub di dalam
hadis sendiri bahwa nama-nama Allah (al-Asma’ al-Husna) jumlahnya sembilan
puluh sembilan. Dari premis ini, timbul sebuah pertanyaan : Mengapa sifat yang
wajib bagi Allah yang harus diketahui itu hanya terhad kepada dua puluh sifat
saja, bukan sembilan puluh sembilan sebagaimana yang terdapat di dalam
al-Asma’ al-Husna?
Para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dalam menetapkan
sifat dua puluh tersebut sebenarnya bersumberkan dari kajian dan penelitian
yang cermat dan mendalam.
Terdapat beberapa alasan ilmiah yang logik serta
relevan dengan fakta dan nash yang telah dikemukakan oleh para ulama’
yang berhubungan dengan latar belakang wajibnya mengetahui sifat dua puluh yang wajib bagi
Allah subhanahu wata`ala, antaranya ialah:
Pertama, setiap orang yang beriman harus meyakini bahawa
Allah ta`ala wajib memiliki semua sifat kesempurnaan yang layak bagi
keagungan-Nya. Mereka harus meyakini bahawa mustahil Allah ta`ala memiliki
sifat kekurangan yang tidak layak bagi keagungan-Nya.
Mereka juga harus
meyakini pula bahawa Allah berkuasa melakukan atau meninggalkan penciptaan
segala sesuatu yang bersifat mumkin yaitu seperti menciptakan, mematikan,
menghidupkan, memberi rezki, mengurniakan kebahagiaan , menimpakan kecelakaan
dan lain-lain lagi. Semua ini adalah bentuk keyakinan yang paling
dasar yang perlu wujud di dalam hati setiap orang Islam.
Kedua, para ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah sebenarnya
tidak membataskan sifat-sifat kesempurnaan Allah hanya kepada 20 sifat saja.
Bahkan setiap sifat kesempurnaan yang layak bagi keagungan Allah, sudah pasti
Allah wajib memiliki sekian sifat tersebut, sehingga sifat-sifatkamalat
(kesempurnaan dan keagungan) Allah itu sebenarnya tidak terbatas pada sembilan
puluh sembilan saja sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Imam al-Hafiz
al-Bayhaqi:[2]
“وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِنَّ لِلَّهِ
تَسْعَةً وَتِسْعِيْنَ اِسْمًا)) لايَنْفِيْ غَيْرَهَا, وَإِنَّمَا أَرَادَ
وَاللهُ أَعْلَمُ أَنَّ مَنْ أَحْصَى مِنْ أَسْمَاءِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ تِسْعَةً
وَ تِسْعِيْنَ اِسْمًا دَخَلَ الْجَنَّةَ”.
“Sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam : Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama”, tanpa menafikan nama-nama selainnya. Nabi sallallahu`alaihi wasallam hanya bermaksud -wallahu a`lam-, bahawa barangsiapa yang menghitung sembilan puluh sembilan nama tersebut akan dijamin masuk syurga”.
Pernyataan al-Hafiz al-Bayhaqi di atas bahawa nama-nama
Allah ta`ala sebenarnya tidak terbatas dalam jumlah sembilan puluh sembilan
dengan didasarkan pada hadist shahih: [3]
“عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
اللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ… أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ
نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ
خَلْقِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ
الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ بَصَرِيْ، وَجَلاءَ حَزَنِيْ، وَذَهَابَ
هَمِّيْ “.
“Ibn Mas’ud berkata, Rasulallah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:” Ya Allah, sesungguhnya aku Hamba-Mu.. Aku memohon dengan perantara setiap Nama yang Engkau miliki, baik yang Engkau namakan Dzat-Mu dengan-Nya, atau yang Engkau turunkan nama itu dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada sesiapa di kalangan makhluk-Mu, atau yang hanya Engkau saja yang Mengetahui-Nya dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, jadikanlah al-Quran sebagai bagian hatiku, cahaya mataku, penghilang kesedihanku dan penghapus rasa gundahku”.
Hadis di atas menjelaskan bahawa di antara nama-nama Allah
ta`ala yang telah dijelaskan di dalam al-Qur’an, ada di antaranya yang
diketahui oleh sebahagian hamba-Nya dan ada yang hanya diketahui oleh Allah
ta`ala saja.
Sehingga berdasarkan kepada hadis tersebut, nama-nama Allah itu
sebenarnya tidak terbatas pada 99, maka apatah lagi 20 sifat yang telah
dirumuskan oleh para ulama’ yang melaut ilmu mereka itu.
Ketiga, para ulama’ telah membahagikan sifat-sifat
khabariyyah, yaitu sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadis
seperti yang terdapat di dalam al-Asma’ al-Husna, kepada dua bahagian.
Pertama,
Sifat al-Af`al al-Zat iaitu sifat-sifat yang ada pada Zat Allah ta`ala, yang
antara lain adalah sifat 20.
Dan kedua, Sifat al-Af`al, iaitu sifat-sifat yang
sebenarnya adalah perbuatan Allah ta`ala, seperti sifat al-Razzaq, al-Mu`thi,
al-Mani`, al-Muhyi, al-Mumit, al-Khaliqdan lain-lain.
Perbedaan antara keduanya
adalah, sifat al-Zat merupakan sifat-sifat yang menjadi Syart al-Uluhiyyah,
iaitu syarat mutlak ketuhanan Allah ta`ala.
Kesemua sifat tersebut telah
menyucikan zat Allah ta`ala dari semua sifat yang tidak layak bahkan
mustahil untuk disandarkan kepada dzat Allah yang Maha Agung.
Dari sini para
ulama’ telah mentapkan bahawaSifat al-Zat ini adalah azali (tidak ada
permulaan), dan baqa’ (tidak ada pengakhiran bagi Allah).
Hal tersebut berbeda
dengan Sifat al-Af`al, ketika Allah ta`ala memiliki salah satu dari Sifat
al-Af`al, maka lawan dari sifat tersebut adalah tidak mustahil bagi dzat Allah
ta`ala,
Bahkan ia menunjukkan lagi perihal kehebatan dan keagungan Allah kerana
mampu menciptakan dua perkara yang berlawanan berdasarkan fungsi yang
terkandung di dalam nama-nama dan sifat-sifat yang telah ditetapkan oleh Allah
ta`ala kepada zat-Nya yang Maha Agung seperti; sifat al-Muhyi (Maha Menghidupkan),
al-Mumit (Maha mematikan), al-Dhar (Maha Memberi Bahaya) dan al-Nafi` (Maha
Memberi Manfaat), al-Mu`thi (Maha Pemberi) dan al-Mani` (Maha Pencegah) dan
lain-lain. Di samping itu, para ulama’ mengatakan bahawa Sifat al-Af`al itu
adalah baqa’.[4]
Keempat, dari sekian banyak Sifat al-Zat yang wujud
tersebut, maka sifat dua puluh dianggap cukup dalam memberi kefahaman kepada
kita bahawa Allah ta`ala memiliki segala sifat kesempurnaan dan maha suci Allah
dari segala sifat kekurangan. Di samping itu, kesemuaSifat al-Zat yang
telah terangkum dalam sifat dua puluh tersebut, dari sudut fakta, telahpun
ditetapkan berdasarkan dalil al-Qur’an, al-Sunnah dan dalil-dalil aqli.[5]
Kelima, sifat dua puluh tersebut dianggap cukup kuat untuk
menjadi benteng kepada akidah seseorang dari terpengaruh dengan faham yang
keliru atau menyeleweng dalam memahami sifat Allah ta`ala.
Sebagaimana yang
telah kita maklum aliran-aliran yang menyimpang dari faham Ahl al-Sunah
Wa al-Jama`ah seperti Wahhabi, Muktazilah, Musyabbihah, Mujassimah, Karramiyyah
dan lain-lain telah menyifatkan Allah ta`ala dengan sifat-sifat makhluk yang
kesemua sifat tersebut dilihat dapat meruntuhkan kesempurnaan dan kesucian zat
Allah ta`ala.
Maka dengan memahami sifat dua puluh tersebut, iman seseorang
akan dibentengi dari keyakinan-keyakinan yang menyongsang fahaman arus
perdana umat Islam berhubung zat Allah ta`ala.
Misalnya, ketika golongan
mujassimah mengatakan bahawa Allah ta`ala itu duduk di atas `Arasy, maka hal
ini akan ditolak dengan salah satu dari sifat Salbiyyah yang wajib bagi zat
Allahta`ala iaitu; Qiamuhu Binafsih (Allah ta`ala tidak berhajat kepada
sesuatu), ketika musyabbihah mengatakan bahawa Allah ta`ala memiliki anggota
tubuh badan seperti mata, tangan, kaki, muka, betis dan lain-lain, maka dakwaan
tersebut akan ditolak pula dengan sifat wajib bagi Allah ta`alayang lain iaitu
sifat Mukhalaftuhu lilhawadith (Allah tidak menyerupai sesuatupun), ketika
golongan Muktazilah menafikan kewujudan sifat ma`ani pada zat Allah ta`ala
dengan mengatakan bahawa Allah ta`ala maha kuasa tetapi tidak mempunyai sifat
qudrat, maha mengetahui tetapi tidak mempunyai ilmu, maha berkehendak tetapi
tidak mempunyai iradat, maka dakwaan songsang tersebut akan ditolak dengan
sifat-sifat ma`ani yang jumlahnya adalah tujuh iaitu qudrat, iradat, ilmu,
hayat, sama`, basar dan kalam. Demikian pula dengan sifat-sifat yang lain.[6]
الْقَائِدَةُ: “الْجَهْلُ بِالصِّفَاتِ يُؤَدِّيْ إِلَى الْجَهْلِ
بِالْمَوْصُوْفِ مَنْ لا يَعْرِفُ صِفَاتِ الله لا يَعْرِفُ الله”.
Kaidah: “Jahil tentang sifat (Allah) membawa kepada jahil
dengan yang mempunyai sifat (Allah), sesiapa yang tidak mengenal sifat Allah,
tidak mengenal Allah ta`ala”.
___________________________
[1] KH. Muhyiddin Abd al-Somad (2009), Aqidah Ahlussunnah
Wal Jama`ah Terjemah dan Syarh Aqidah al-Awam, Jakarta: Khalista Surabaya, h.
25.
[2] Al-Hafiz al-Bayhaqi (1959), al-I`tiqad `ala Mazhab
al-Salaf Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, Abu al-Fadhl Abdullah Muhammad al-Siddiq
al-Ghumari (ed.), Kaherah: Dar al-`Abd al-Jadid, , h. 14.
[3] Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad (3528), al-Hakim di
dalam al-Mustadrak (1830) dan al-Tabarani di dalam al-Mu`jam al-Kabir (10198).
Al-Hafiz Ibn Hibban menilainya sahih di dalamSahih-nya (977).
[4] Al-Hafiz al-Bayhaqi(1959), op.cit., h. 15, 21 dan 22; Abu
Mansur Abdul Qahir al-Baghdadi (1981), Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub
al-`Ilmiyah, h. 122-125. Dari sini dapat kita fahami bahawa pernyataan sebagian
kalangan beberapa tahun yang lalu, bahawa untuk saat ini sifat Rahmah
Allahta`ala adalah lebih layak ditekankan untuk diketahui dari sifat-sifat
yang lain, adalah tidak ada asasnya. Ini adalah bertitik tolak dari
ketidakfahaman mereka terhadap sifat al-Zat yang menjadi Syart al-Uluhiyyah dan
Sifat al-Af`al yang bukan Syart al-Uluhiyyah.
[5] Hasan al-Ayyub (2003), Tabsit al-`Aqaid al-Islamiyyah,
Kaherah: Dar al-Salam, h. 17.
[6] Lihat pernyataan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali
tentang tujuan mempelajari ilmu kalam menerusi kitabnya al-Munqidz min
al-Dhalal, lihat al-Ghazzali (1998), al-Munqidz min al-Dhalal, Abdul Halim
Mahmud (ed.), Kaherah: Dar al-Ma`arif, h. 3